Tuesday, January 25, 2011

Apakah bezanya antara Usahawan dengan Peniaga?

Sudah terlalu biasa sekarang  ini perkataan usahawan digunapakai untuk menggambarkan seseorang itu menceburi bidang perniagaan. Jikalau begitu bagaimana pula dengan perkataan peniaga ? Apakah kedua-dua perkataan ini mempunyai makna yang sama atau berbeza sebenarnya?

Mungkin contoh berikut yang saya cedok dari laman web sukses.my dapat membantu.

Seorang pengusaha ternakan ayam boleh diambil sebagai contoh untuk menjelaskan perbezaan antara seorang usahawan dan peniaga. Jika ia seorang peniaga, beliau akan hanya mengira kos jualan untuk pembelaan ayam sehingga ia dijual. Keuntungan hasil jualan dikira dengan menolak jumlah kos jualan. Jika jumlah jualan tinggi, manakala kos pengeluaran rendah, bermakna ada keuntungan. Tetapi jika jumlah jualan rendah dari kos ataupun sama dengan kos jualan, beliau akan rugi atau hanya pulang modal sahaja. Jika keadaan ini berterusan seseorang peniaga itu mungkin akan berhenti dari perniagaan ini ataupun menukar ke perniagaan baru. 


Tetapi lain bagi seorang pengusaha pentenakan ayam yang bersifat sebagai seorang usahawan, beliau akan mempelbagaikan usahanya untuk menambahkan keuntungannya. Jika jualan ayam rendah, beliau akan menambahkan pendapatan mungkin dengan menjual najis ayam untuk membuat baja, menjual ayam yang disembelih dan diproses, menjual isi perut ayam kepada kilang membuat makanan binatang, atau kepada penternak ikan jelawat. Bulu ayam boleh diproses dan dibuat bantal seperti bantal-bantal di Amerika Syarikat. Pendapatan boleh juga didapati dengan menjual kaki ayam ke restoran-restoran Cina yang gemar menyediakan sajian ini. 


Saya difahamkan kulit dan lemak ayam boleh diproses untuk dijadikan nugget ayam yang sangat digemari oleh kanak-kanak... mmm...bagus ke tak bagus ni?.. ;)


Dari contoh di atas, kita boleh membuat kesimpulan berikut :

  • usahawan ialah seorang yang kreatif
  • usahawan akan berusaha untuk mempelbagai dan meningkatkan pendapatannya dengan tidak hanya bergantung pada satu punca sahaja. 
  • usaha-usaha yang dilakukan dirancang dengan teliti dan hasilnya ialah kerja yang lebih produktif
  • usahawan boleh menyesuaikan diri kepada perubahan (they adapt to changes)
  • usahawan mencipta pembaharuan (they  create new)
  • usahawan mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain (they create jobs)
  • usahawan mencipta kekayaan untuk orang lain (they create wealth)

Pendek kata usahawan adalah seorang peniaga, tetapi seorang peniaga belum tentu lagi boleh digelar sebagai usahawan. 

No comments:

Post a Comment